Pages

Reban Lantai tanah VS Lantai Tinggi

Salam,

Sejak 2 tahun teman menternak ini, teman boleh rumuskan ada kelebihan antara menternak ayam diatas lantai tanah dengan reban diatas lantai jaring yang lebih tinggi. Untuk bulan seterusnya, konsep penternakan teman akan menggunakan reban asuhan tingkat yang dengan beberapa syarat. Perbezaaan yang akan teman rungkaikan dalam coretan kali ini adalah pendirian dan pengalaman sendiri dan teman nak ingatkan yang anda memikirkan dulu sebelum mengikuti kerana ianya berkait rapat dengan cara anda menternak.

Perincian reban mengikut Jenis:

Reban lantai tanah.
Kelebihan:
1.       Kos lebih murah. Kos pembinaan sangat murah kerana hanya melibatkan pembuatan dinding dan bumbung sahaja. Kadangkala kita boleh membahagikan separuh dari reban kita untuk kawasan berbumbung manakala selebihnya adalah kawasan terdeah cahaya matahari. Ayam berteduh dikawasan berbumbung pada waktu malam dan pada waktu kurang baik seperti panas melampau dan hujan lebat.
2.       Jangkamasa pembuatan yang lebih singkat. Kita hanya memerlukan sedikit masa untuk mendirikan tiang dan stuktur untuk pembinaan bumbung. Untuk pagar atau dinding, kita boleh menggunakan net dan juga zink sebagai bahan utama. Penggunaan zink akan menjimatkan masa tetapi kos adalah lebih mahal berbanding dengan jaring.
3.       Ayam mudah untuk berriadah dan mandi pasir bila memerlukannya. Ayam akan gembira apabila menjejakkan kaki keatas tanah serta mempu untuk menguis tanah seperti mana yang lazimnya menjadi keperluan seekor ayam.
Kekurangan:
1.       Penularan penyakit menjadi lebih mudah. Ayam terdedah kepada jangkitan penyakit yang datang dari tanah. Perkara ini sangat digeruni oleh penternak terutama apabila musim hujan tiba. Pada masa ini ruangan reban mudah menjadi becak dan bertakung dengan air. Pada kawasan inilah banyak cacing yang akan kumpul dan menjangkiti ayam. Gejala yang biasa menular akibat reban tanah ini adalah jangkitan cacing, berak kapur, puru, sampar dan jangkitan kepada serangan peparu.
2.       Kawasan reban yang lebih luas diperlukan bagi menyebarkan najis ayam keserata tempat kerana kalau kawasan kepungan terlalu kecil, kumpulan najis akan terjadi. Najis yang terlalu banyak memerlukan masa pengurusan yang lebih.
3.       Masa untuk menguruskan reban akan meningkat dengan keluasan reban yang bertambah.
4.       Kejadian telur tak berbenih akan lebih meningkat dengan peratusannya yang lebih tinggi. Ini kerana kalau kita kekurangan budget dan hanya membina satu reban besar untuk meletakkan semua ayam dalam satu reban, persaingan antara jantan yang ada akan berlaku. Proses pengawanan antara ayam matang akan terganggu dan perebutan jantan alfa oleh ayam betina kadangkala menyebabkan si betina bertelur tanpa membenarkan didekati jantan yang kurang power.
5.       Telur yang dikutip kadangkala lebih kotor kerana faktor kaki ayam yang terdedah kepada tanah.  Gejala ayam mematuk telur juga kerap dijumpai dan kadangkala menurunkan jumlah kutipan telur yang dikutip setiap hari.
Reban lantai jaring(tinggi)
Kelebihan:
1.       Kawalan penyakit yang lebih mudah. Ini teman dapat buktikan apabila ada sahaja serangan penyakit menular berlaku, biasanya ayam yang ditempatkan diatas reban ini akan terhindar dan terselamat. Pada serangan yang lalu, kesemua ayam yang ditempatkan direban ini terselamat termasuk ayam sutera teman yang dikatakan amat mudah dijangkiti penyakit. Reban ini akan mengasingkan ayam dari kumpulan besar dan ayam tiada peluang langsung untuk dijangkiti olehayam lain direban sebelah.
2.       Ayam akan sentiasa kering dan tiada masalah ayam sakit sesema akibat serangan penyakit ketika musim tengkujuh.
3.       Najis ayam akan dapat diuruskan secara baik dan mudah. Penyakit bawaan amonia dari najis ayam dapat dielakkan. Najis jatuh melalui jaring dan berkumpul dibawah reban. Tugasan kita adalah samada menambah pasir atau menyapu bawah reban. Cukup mudah..
4.       Luas kawasan berbanding bilangan ayam juga minima dengan mengurung ayam ini didalam reban sepanjang masa.
5.       Pengurusan reabn menjadi mudah kerana kita hanya perlu menumpukan perhatian bagi setiap reban yang ada.
6.       Kawalan ayam lebih mudah terutama dari segi menangkap, mengutip telur, merawat ayam sakit dan menningkatkan peratusan telur berbenih.
7.       Satu reban boleh menjadi dua fungsi iaitu reban pembesaran dan reban untuk ayam matang. Yang berbeza adalah setting alatan makanan, jumlah ayam dalam satu reban dan keperluan tambahan untuk mengelakkan nyamuk seperti net nyamuk dan sebagainya.
Kekurangan:
1.       Kos pembuatan yang lebih tinggi kerana reban kos tambahan diperlukan bagi menambah lantai reban. Pembinaannya juga digalakkan dalam unit yang lecil tetapi banyak bagi menampung  jumlah ternakan yang diperlukan.
2.       Masa untuk membina setiap reban mengikut jumlah ternakan akan meningkat kerana memerlukan lebih banyak unit dibina.
3.       Kita perlu untuk menyediakan semua keperluan ayam seperti pasir untuk ayam mandi, tumbuhan atau daunan hijau untuk ayam. Cara terbaik adalah dengan menyediakan bekas khas untuk kita menambah pasir setiap masa serta menanam rumput dalam bekas khas untuk dimasukkan didalam reban mengikut jadual.
4.       Peralatan reban terpaksa ditambah mengikut jumlah reban yang dibina.
5.       Ayam perlu dirawat dengan ubat untuk mengurangkan stress terkurung. Kita juga perlu memastikan reban yang dibina mempu untuk membenarkan dimasuki cahaya matahari terutama pada waktu pagi dan petang bagi membenarkan ayam berjemur seperti mana yang biasa dilakukan oleh ayam yang diternak bebas.
Ada banyak lagi yang boleh disenaraikan mengikut pengetahuan anda. Bagi teman, teman sekarang ini terpaksa memilih untuk menternak ayam teman dalam reban lantai jaring memandangkan stuktur tanah teman yang mudah untuk menakungkan air apabila hari hujan. Cara untuk anda memastikan tanah anda ini sesuai atau tidak, anda korek tanah direban anda sedalam setengah kaki atau sekaki. Biarkan tanah tersebut sebentar dan perhatikan kalau2 ada air dalam luang tersebut.
Kalau ada air, maka anda perlu pastikan anda memilih reban jenis ini kerana ianya tak sesuai untuk dibina reban lantai tanah. Ayam yang berada jauh dari tanah akan sentiasa berada dalam keadaan kering dan sukar dijangkiti penyakit. Walaupun kos pembikinan lebih tinggi, bagi teman pelaburan ini berbaloi kalau kita dapat mengelakkan jangkitan penyakit semasa menternak yg boleh membawa kepada kematian beramai2. Ianya lebih merugikan kita dalam jangka masa panjang.  
Sekian..

jaringan penternak ayam kampung..

No comments:

Instagram