Pages

Kisah jadi Teladan,

Salam,

Malam beberapa hari yang lalu, teman dikunjungi semula oleh pembeli 2 biji incubator teman yang berasal dari rembau. Beliau telah membina reban dalam keluasan 1 ekar dan berpagar sepenuhnya. Jumlah ternakan beliau boleh dikatakan agak banyak dengan kapasiti ibu ayam melebihi 100 ekor. Niat dihati beliau untuk mengembangkan ternakan beliau dengan mendidik anak keluaran reban sendiri sehingga mengandakan jumlahnya supaya sesuai dengan kehendak pasaran.

Dari jauh lagi teman dan mendengar kekesalan dan kehampaan beliau apabila hampir 300 biji telur yang dieramkan tiada hasil atau tidak menetas. Bederau darah teman bila mendengarnya, teman risau juga bagaimana incubator teman yang telah teman set sebaik mungkin tidak mampu menetaskan seekor anak. Menurut beliau, telur yang dikutip dijaga sebaik mungkin agar tidak kotor dan selamat untuk dieramkan.

Setibanya dirumah teman, teman perhatikan semua telur belau berada dalam keadaan besih, sangat bersih sehingga teman meragui asal usul telur tersebut, namun tuan punya incubator bersungguh mengatakan telur beliau ditempatkan dalam kawasan yang sangat bersih sehingga tiada kotoran langsung boleh hinggap. So bagi teman, kalau tuan punya telur ini ammpu memastikan telurnya bersih sebegini, teman yakin rebannya sangat bersih dan terjaga. Kemudian teman terus memasang incubator yang dibawa tanpa mengeluarkan telur didalam(tuan nie bawa skali telur yang telah dieram) sehingga penghujungnya, teman dapati sebuah incubator berada dalam setting yang tepat dan masih sama dengan yang teman buat sebelum ini, manakala sebiji lagi diset kepada suhu 42 darjah.. Sungguh tinggi, melihat kepada pelekat yang teman letakkan.. teman pasti yang incubator tersebut tekah diubah.

Rupanya tuan punya incubator ini telah mengubah incubatornya semula menggunakan thermometer yang belum ditentu ukur terlebih dahulu. So bacaannya lari sehingga 2 darjah. Selepas menerangkan masalah yang akan timbul apabila suhu terlalu tinggi, akhirnya beliau paham mengenai masalah yang dihadapi. kemudian untuk kes incubator yang satu lagi, teman pecahkan sebahagian telurnya untuk pemeriksaan. Malang sekali apabila 75% telurnya tidak berbenih langsung. Bila ditanya mengenai candling, beliau mengakui bahawa ada melakukanya dan mendapati lebih dari separuh dari telurnya tidak berbenih, namun beliau masih meneruskan pengeraman dengan harapan sesuatu akan berlaku. malangnya pada penghujung pengeraman, tiada satu pun yang menetas dan hati terus membara kemarahan memarahi incubator yang dikatakan gagal. Kalau semasa candling pada hari ke 6, beliau dah mengeluarkan telur yang tidak berbenih, teman yakin ketika itu beliau sedar yang jumlah telur yang boleh diteruskan eramannya hanya berbelas biji sahaja. telur yang lain telah gagal pada permulaanya, dan kalau dijual telur yang belum berbenih tersebut, teman yakin beliau dah ada sejumlah wang hasil penternakan melalui jualan telur.

Setelah berbincang, teman dapati pemilik ini gagal untuk memahami nota serta penerangan yang telah teman berikan sebelum ini, mungkin pada firasat beliau, incubator ini tidak memerlukan penjagaan yang baik serta hanya perlu dihentam keromo sahaja. Dan barulah beliau sedari, kepentingan memutarkan telur setiap hari dan kepentingan teknik candling mengikut tarikh yang ditetapkan. Beliau juga mula memahami yang telur yang berbenih sahaja akan menetes didalam incubator. Setelah teman siasat, tuan punya reban ini mengamalkan cara penternakan lepas bebas dalam kawasan berpagar dengan keluasan satu ekar. Namun nisbah ibu dan pejantan ayan tidak tepat denagn hanya 4 ekor jantan untuk 100 ekor lebih betina. Dengan kawasan reban yang sangat luas, serta bilangan penjantan yang sedikit, teman yakin kebanyakan betina yang ada tiada pelung untuk bersama jantan kerana terpaksa berebut atau dikalahkan sibetina yang lebih otai, kesudahannya sibetina akan tetap bertelur juga tanpa benih sijantan. anda biasa mendengarkan yang sibetina akan tetap bertelur bila tiba masanya seperti mana telur yang dikeluarkan oleh ayam penelur walau tiada ayam jantan langsung.

Oleh itu, nasihat teman agar beliau menambah sekurang2nya 15 ekor lagi jantan dengan jumlah ibu yang ada serta keluasan reban beliau. Teman juga ada menasihatkan beliau supaya menghadkan pergerakan induk atau mengecilkan reban untuk penghasilan telur berbenih , ini kerana pergerakan yang melampau atau terlalu aktif diwaktu siang akan mengurangkan jumlah telur serta menurunkan peratusan telur berbenih. Mungkin beliau boleh membina reban kecil yang sesuai dengan seekor jantan serta beberapa ekor betina yang boleh diganti mengikut keberahian ayam betina tersebut.

Satu lagi masalah yang teman boleh terima adalah faktor makanan yang diberikan kepada ternakan beliau, boleh dikatakan hampir 90% makan yang diberikan adalah dari jenis jagung yang diberikan terus kepada ternakanya. Ini mengkiut kepercayaan beliau yang pemberian jagung sahaja sudah memadai kerana ayam sudah besar dan boleh mencari makanan sendiri. Bagi teman, Jagung hanya mempunyi 7-9% sahaja nilai protien bagi setiap gram yang diberikan. Manakala seekor ayam memerlukan antara 15-17% protien dalam diet sehariannya, selalin itu kita juga perlu memantau nutrisi yang lain seperti kalsium dan beberapa nutrisi lain. Dengan memberi jagung semata2 ayam biasanya akan mengalami sindrom kurang nutrisi dimana penyakit atau tanda susulan akan dilihat kemudian hari. Oleh itu, tuan punya reban boleh memberi makanan tambahan setiap hari atau paling kurangpun memberi nasi yang dimasak dengan jagung. Jumlah protien yang akan bertambah serta makanan sampingan lain akan membantu mengimbangi diet yg diberikan. Penjagaan, makanan serta reban yang baik akan memberi jaminan pulangan kepada penternak khususnya untuk menghasilkan telur yang berbenih.

Anda juga dinasihatkan agar mengumpul telur dan disimpan tidak melebihi 7 hari bagi mengelakkan telur masuk angin. Telur disimpan dalam bekas khas seperti bekas telur kertas yang biasa digunakan dipasaraya ataupun menggunakan bekas plastik yang memepunyai pengudaraan yang baik. Jaga suhunya dan pastikan anda menempatkan dalam suhu bilik serta terhindar dari sumbar kelembapan. Pastikan telur anda ditegakkan dengan bahagaian tumpul diatas dimana kantung udara dalam telur tersebut sentiasa siatas. Jikalau terbalik, ada kemungkinan kantung tersebut boleh pecah dan mengagalkan usaha anda mengeram nanti. Jangan sesekali mengumpulkannya didalam baldi dalam keadaan tonggang terbalik dan dibiarkan selama seminggu sebegitu. Ada kemungkinan telur akna rosak dan tak boleh dieramkan lagi.
sekian..

p/s: teman lega dengan undian segelintir sahaja, so bolehlah teman meneruskan agenda teman membantu mereka yang memerlukan ilmu penternakan. susah juga kalau kita nak menerangkan benda penternakan ini dalam bentuk short form atau dalam bentuk nota ringkas.. adios..

jaringan penternak ayam kampung..

No comments:

Instagram